Thursday, March 8, 2007

Ada apa tentang Laman Mukmin...

Al-kisah.. Idea untuk mewujudkan sebuah pusat mengasuh kanak-kanak yang menjadikan pendidikan dan pembinaan akhlak kanak-kanak sebagai agenda utama sebagai satu usaha untuk mewujudkan generasi unggul di masa hadapan telah diilhamkan oleh Ustaz Zulkifli Ahmad, seorang ustaz yang aktif memberikan kuliah, dan ceramah di sekitar Kuala Lumpur dan selangor. Atas cita-cita mulia ini maka beliau bersama rakan-rakannya, para pemuda yang tinggal di sekitar Taman Pandan Indah, memutuskan untuk menubuhkan sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak sebagai merintis jalan ke arah pendidikan dan asuhan kanak-kanak yang disinari oleh cahaya Iman dan Islam.

Nama Laman Mukmin dicetuskan oleh Saudara Naza, dengan harapan ianya benar-benar menjadi laman perkumpulan dan pembentukan generasi baru beriman. Dihiasi lagi dengan sepotong kata-kata "Generasi intelek, berperibadi tinggi", Laman Mukmin menyematkan cita-cita untuk membentuk anak-anak moden yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi seiring dengan memiliki peribadi dan akhlak agama yang ampuh, utuh, lagi teguh sebagai senjata yang akan dibawa ke mana-mana dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancarobakala ini.

Arakian menyambung cerita, setelah sebulat suara dengan satu keputusan yang nekad lagi tak terubah, sebuah bait telah disewa sebagai pusat operasi Taska ini pada Januari 2007. Maka bait ini menjadi titik permulaan perjalanan perjuangan Laman Mukmin yang panjang, yang pastinya meninggalkan detik-detik suka dan duka di sepanjang perjalanan itu.

Bait bertuah itu cukup meyakinkan untuk dijadikan sebuah Taska. Sebagai bait pertama di barisan bait di Jalan 36/2, Taman Kencana, pastinya bait ini menjadi tumpuan para ibu-bapa dan penjaga yang memerlukan Taska untuk anak-anak mereka. Dilengkapi dengan ruang padang untuk kanak-kanak bermain, pohon-pohon buah menghiasi halamannya termasuk sepohon pokok kurma yang menambahkan lagi keunikan bait itu. Persekitaran yang bersih dan keadaan bait yang baik menambahkan lagi semangat para pencita untuk meneruskan hasrat mereka.

Promosi dimulakan, banting dinaikkan, iklan diedarkan, maklumat diperpanjangkan, dan usaha dilipatgandakan untuk mencari bakal-bakal penghuni laman mukmin. Bait dibersihkan, halaman dicantikkan, dalaman diwarnakan, peralatan dilengkapkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan mewujudkan suasana paling kondusif untuk para penghuninya. Dipendekkan cerita, tarikh keramat 2/2/2007, Laman Mukmin secara rasminya dibuka dalam keadaan tergah, untuk memenuhi kehendak para penduduk di sekitar Pandan Indah yang sentiasa menginginkan yang terbaik untuk anak mereka.

Cuma sebulan baru berlalu, dan masa itu belum cukup panjang untuk menilai kejayaan Laman Mukmin. Namun begitu, dalam tempoh ini, Laman Mukmin terus berkembang dengan jayanya, tambah lagi dimeriahkan dengan Kelas Pengajian Al-Quran dan Kelas Tuisyen untuk para pelajar UPSR, PMR dan SPM. Genap sebulan sahaja, Laman Mukmin juga telah sukses menganjurkan Kursus 'Smart Solat' yang mengundang 83 orang peserta untuk berkampung di Laman Mukmin pada 3/3/2007 yang lalu.

Masih terlalu jauh untuk bergembira dengan kejayaan Laman Mukmin kini. Usaha harus dilipatgandakan untuk memastikan survival Laman Mukmin di masa mendatang. Niat harus dibetulkan, langkah harus dikemaskan, material harus dikayakan. Insya-Allah, Laman Mukmin akan menjadi ikon utama dalam pendidikan dan perkembangan Islami di negara ini.

Wassalam..

3 comments:

Faizul Hafiz Surati said...

Ermmm...suatu permulaan yang baik untuk pemuda laman. mintak klu boleh pemuda laman letak gambo ke atau logo laman mukmin kat sni..lagi satu alamat lengkap atau aktiviti bergambar boleh di buat bagi menyerlahkan seri wajah blog ini. sbb ape, klu tulisan aje tanpa disertakan gambar2 atau aktiviti maka ianya akan terasa hambar...klu nk gambar masa program smart solat tu pon boleh ana postkan kat sni....oret

Faizul Hafiz Surati said...

lagi satu..mcmne ek nk post artikel kat sni???

Green Guy said...

Setakat ni .. artikel cuma boleh dipos oleh administrator - "pemuda laman"
..

Jadi .. kalo ade ape2 nak dipos.. sila mail kepada laman_mukmin@yahoo.com.my

pemuda laman akan tapis ape2 artikel