Tuesday, March 6, 2007

Ahlan Wasahlan

Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.. atas kehendak-Nya Yang Maha Kuasa.. dengan firmannya "Jadi" maka jadilah sesuatu.. dan selawat serta salam ke atas Nabi Junjungan penerang kehidupan manusia sejagat, Muhammad bin Abdullah, Salallah Alaihi Wassalam.. yang dengan pengorbanan Baginda .. maka Iman dan Islam dapat dinikmati selama 1428 tahun lamanya oleh manusia terpilih dari kalangan manusia, begitu juga kepada ahli keluarga Baginda, semulia-mulia keturunan manusia dan sahabat-sahabat Baginda, pendukung dan penyokong yang sentiasa membenarkan kata-kata Al-Amin yang sentiasa menjadi idaman ikutan para pejuang selepas mereka, serta para tabi'i wat tabi'in, para wali dan para salihin seterusnya para muslimin, muslimat, mukminin dan mukminat seluruhnya..

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran.. dengan Rahmat dan Kasih Sayang Allah, maka rentetan pencapaian Laman Mukmin terlakar lagi dengan terhasilnya blog ini sebagai satu wadah penyebar maklumat di samping merakamkan memori bersejarah dan detik-detik bermakna aktiviti-aktiviti di Laman Mukmin sebagai satu kenangan terindah untuk diabadikan dan diraikan di hari-hari kemudian.

Marilah ahli-ahli komuniti Laman Mukmin sama-sama menyumbangkan buah fikiran, hasil penulisan, sentuhan seni atau apa jua sumbangan untuk memastikan Laman Mukmin ini sentiasa subur dan bercambah dengan pohon-pohon kebaikan yang dapat menjadi persinggahan oleh para pengembara dunia maya di internet ini sebagai satu tempat mencedok ilmu, menyemai kasih, meraih ketenangan, membina kemesraan, mencari penyelesaian dan jalan keluar dari segala lubang-lubang kejahatan yang terdapat di sepanjang laluan merbahaya di dunia internet ini.

Laman Mukmin kedua di dunia maya ini diharapkan menjadi persinggahan alternatif dan terus diserikan dengan bunga-bunga hasanah yang mekar dan subur untuk menarik para pengunjung untuk mengingatkan dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Insya-Allah.

No comments: