Tuesday, March 20, 2007

Solat smart dengan "Smart Solat"



Atas seruan untuk mengimarahkan usaha dakwah kepada masyarakat sekitar Pandan, Laman Mukmin telah menganjurkan Kursus Smart Solat yang dibuka untuk kanak-kanak Sekolah Rendah dan Menengah. Pada 3hb. Mac 2007 lalu, 83 peserta berumur di antara 7 sehingga 17 Tahun, telah memenuhi Laman Mukmin untuk bersama-sama mempelajari dan memperbaiki Solat masing-masing. Tahniah kepada ibu-bapa yang sanggup menghantar anak-anak mereka untuk memastikan kecemerlangan anak-anak dalam Solat sebagai salah-satu tuntutan yang utama dalam Islam.

Melalui kursus ini, anak-anak diajarkan dengan kaedah-kaedah asas Solat bermula dengan pergerakan, bacaan, solat 5 waktu, kesalahan-kesalahan dalam solat, sehinggalah doa dan wirid selepas solat. Asas-asas wuduk dan azan serta iqamah juga didedahkan kepada anak-anak sebagai melengkapi asas pengetahuan mereka dalam Solat. Kaedah pengajaran tidak tertumpu kepada Teori semata, malah anak-anak telah melalui sesi Amali untuk setiap aktiviti Solat, Wuduk dan Azan untuk memastikan anak-anak melakukan ibadah dengan betul dan memperbaiki kesalahan dalam ibadah mereka. Laman Mukmin mendapat bantuan daripada
penuntut-penuntut dari Darul Quran, Kuala Kubu sebagai fasilitator dalam kursus ini untuk membimbing para peserta kursus. Prestasi dan tahap anak-anak dalam melaksanakan ibadah mereka telah dinilai oleh fasilitator dan diberikan kepada ibu-bapa mereka sebagai rujukan untuk tindakan ibu-bapa seterusnya di rumah nanti dalam memperbaiki kelemahan anak-anak mereka dalam melaksanakan ibadah seperti yang telah dikenalpasti dalam penilaian tersebut. Dengan cara ini, diharapkan pembelajaran dan penambahbaikan Solat dapat diteruskan di rumah oleh ibu-bapa supaya pembelajaran ini tidak terhenti di Laman Mukmin sahaja.




Seawal jam 7 pagi, kelihatan ibu-bapa telah menghantar anak-anak mereka ke Laman Mukmin untuk sesi pendaftaran. Pendaftaran berlangsung selama kira-kira 1 jam setengah memandangkan peserta yang ramai di luar jangkaan kami.

Sesi pertama dimulakan dengan ucapan pembukaan dan penerangan tentang tentatif program oleh Ustaz Zulkifli Ahmad, merangkap Pengarah Program. Selepas itu, anak-anak dijamukan dengan sedikit makanan pagi sebagai pemangkin dan penambah tenaga untuk menghadapi kursus separuh hari itu sehingga ke petang nanti.

Seterusnya, kursus diambil alih oleh Saudara Yusuf, salah seorang penuntut dari Darul Quran, dalam sesi membaca dan membetulkan bacaan Al-Fatihah dan bacaan Tahiyyat Awal dan Akhir. Dengan suara yang lunak merdu bak buluh perindu, Saudara Yusuf memperdengarkan bacaannya kepada para peserta membuatkan setiap yang hadir terpesona dengan bacaannya. Bacaan yang baik dari Saudara Yusuf pastinya membangkitkan keinginan anak-anak untuk belajar dan memperbaiki bacaan mereka.

Selepas anak-anak berlatih dan memperbaiki bacaan Al-Fatihah dan Tahiyyat mereka, Ustaz Zul mengambil alih sebagai pengacara dalam sesi seterusnya iaitu pembelajaran asas Solat serta kesalahan-kesalahan di dalam Solat. Sesi tersebut dimulakan dengan penerangan mengenai cara dan pergerakan solat yang betul. Ustaz Zul menerangkan dengan cukup baik sambil berseloroh untuk memastikan anak-anak terus memberikan perhatian dalam penerangan beliau. Dibantu dengan Multimedia Interaktif, penerangan menjadi lebih berkesan melalui tayangan video dan gambar yang dimuatkan dalam aplikasi Flash.



Selesai sesi penerangan, anak-anak dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sesi Amali Solat. Dalam sesi Amali Solat, fasilitator mengetuai setiap kumpulan dan menilai tahap kebolehan anak-anak kumpulan dalam Solat mereka. Para fasilitator dari Darul Quran mengambil peranan mereka untuk mengajar dan memperbetulkan Solat anak-anak dalam kumpulan masing-masing. Sesi berterusan selama lebih kurang 2 jam dengan pelbagai gelagat anak-anak mempraktikkan solat mereka.





Seterusnya, sesi diambil alih oleh Saudara Faizul untuk bacaan dan hafazan doa selepas solat. Saudara Faizul memberikan pengajaran tentang kepentingan doa dan mengetuai anak-anak untuk menghafaz. Kesungguhan anak-anak untuk belajar terserlah dengan usaha mereka yang gigih untuk menghafaz doa-doa yang telah diberikan. Ramai di kalangan mereka berjaya untuk menghafal dalam tempoh yang singkat dan Insya-Allah, semoga mereka dapat mempraktikkan dalam solat harian nanti.



Program diteruskan dengan sesi pelajaran mengambil wuduk oleh Saudara Falah. Sebagai seorang pelajar hafiz dari K. Terengganu, Saudara Falah memiliki kelebihan tersendiri dalam mengendalikan sesinya. Anak-anak kelihatan menumpukan sepenuh perhatian terhadap penyampaiannya dan terkadang terhibur dengan seloroh spontan Saudara Falah. Anak-anak kelihatan dapat mengambil wuduk dengan baik sewaktu sesi amali menunjukkan konsentrasi yang baik diberikan semasa penerangan tadi. Selepas sesi amali wuduk, para peserta bersiap sedia untuk melakukan solat Zuhur berjemaah.



Selesai Zuhur, anak-anak menjamu selera mereka dengan makanan tengah hari. Pastinya anak-anak berasa penat dan lapar setelah separuh hari mereka melalui sesi pembelajaran.

Suasana begitu baik pada waktu pagi, namun tidak sehingga ke petang. Suasana seketika mendung dengan angin menderu-deru, tanda hari hendak hujan. Benar. Hujan turun mencurah-curah atas kehendak Allah membuatkan kami kaget seketika. Tanpa melengahkan masa, kami menyelamatkan barang-barang elektronik dan buku-buku di luar daripada basah. Anak-anak dikawal dan dibawa masuk ke rumah sebelum ditenteramkan daripada sekilas huru-hara. Ujian Allah sentiasa datang tanpa dirancang sebagai tarbiah kepada para pendokong-Nya. Insya-Allah, sabar para pengendali program menambahkan lebih rahmat kepada usaha mereka.

Kursus tidak terhenti dek hujan nan lebat. Sesi seterusnya diteruskan seperti dirancang. Saudara Azhari menyambung program dengan sesi pembelajaran Azan dan Iqamah. Anak-anak diajarkan tentang asas-asas Azan, cara azan yang betul, tips mengalunkan suara azan, dan doa-doa sebelum dan selepas azan. Anak-anak turut diajar waktu-waktu masuk solat yang membolehkan untuk azan, dan iqamah sebelum memulakan solat. Deruan titisan hujan petang itu ditemani oleh laungan anak-anak melagukan azan mereka.



Asar menjelang, dan sesi azan ditamatkan. Anak-anak sekali lagi dalam susunan saf yang lurus, berjemaah menunaikan solat Asar. Sesi penutup menyusul selepas itu, menandakan program sepanjang hari itu bakal ditangguhkan.

Keadaan hingar-bingar dengan suasana bising anak-anak. Masing-masing kelihatan sudah letih dan tidak sabar untuk pulang ke rumah. Apatah lagi kelihatan ibu-bapa mereka sedang menunggu di luar. Difikiran kini hanya kelihatan mak, ayah dan rumah melambai-lambai, mengajak pulang segera.



Namun, sesi penutup harus diteruskan. Saudara Fairus selaku pengerusi majlis penutup petang itu mengendalikannya dalam keadaan yang kurang sempurna. Anak-anak diingatkan beberapa kali untuk kembali tenteram, namun usahanya gagal. Ustaz Zul dijemput untuk memberikan ucapan penutup dan kini, anak-anak itu diam, menumpukan perhatian kepada butir-butir kata yang bakal disampaikan oleh Ustaz Zul. Mungkin rasa takut, atau rasa hormat anak-anak kepada Ustaz, suasana kembali tenteram dan Ustaz Zul menyampaikan amanat-amanatnya kepada anak-anak di hadapannya. Anak-anak diingatkan supaya tidak meninggalkan solat. Harapan Ustaz agar apa yang dipelajari dan dipraktikkan sepanjang kursus berlangsung akan menjadi amalan harian di rumah nanti. Anak-anak memberikan kata "Boleh" untuk meyakinkan Ustaz dan para fasilitator bahawa mereka akan menjaga dan memperbaiki solat mereka. Insya-Allah.




Sesi diteruskan dengan penyerahan 'Score-Card' kepada anak-anak untuk diberikan kepada ibu bapa mereka sebagai rujukan tentang prestasi solat anak-anak mereka dan perkembangan anak-anak mereka sepanjang program berlangsung. Sijil penyertaan turut diberikan kepada anak-anak. Sijil diserahkan oleh Saudara Rodzi bin Man, alah seorang usahawan berjaya di Pandan Indah. Kehadirannya ke majlis penutup tersebut amat dihargai.



Anak-anak diserahkan semula kepada ibu bapa mereka sebaik sahaja doa penutup selesai dibacakan. Anak-anak pastinya tidak sabar untuk pulang ke rumah setelah seharian di Laman Mukmin. Apa yang pasti, mereka semua pulang dengan wajah yang cukup ceria dan Insya-Allah dengan Ilmu dan Iman penuh didada.

Kami di Laman Mukmin mengucapkan ribuan Terima Kasih kepada para Ibu Bapa yang sudi menghantarkan anak mereka untuk menghadiri Kursus Smart Solat anjuran kami. Sememangnya kita semua bertanggungjawab sesama Muslim untuk menyemai benih-benih Islam ke dalam setiap individu Muslim terutamanya kanak-kanak muda yang masih dalam proses perkembangan, mental dan fizikal, yang masih mudah untuk dibentuk dan diajarkan. Melalui asas yang kukuh ini, Insya-Allah, mereka akan membesar dengan bekalan Iman yang kuat dan Ilmu yang mantap.

Kami juga memohon ribuan maaf atas segala kesalahan dan kekurangan kami. Atas segenap usaha kami, itu sahaja yang terdaya kami lakukan setakat ini dan segala kekurangan kami dalam mengendalikan program ini akan dijadikan rujukan pada masa-masa akan datang. Insya-Allah, kursus seterusnya akan diatur dengan lebih baik dan kemas.

Sekian saja coretan pemuda laman, terima kasih. Wassalam.

No comments: